mutakhir

GST elak Malaysia dilanda krisis ekonomi

Kuala Lumpur: Penurunan harga minyak boleh menyebabkan Malaysia dilanda krisis ekonomi jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, GST yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) membantu meluaskan hasil negara bagi mengelakkan pergantungan tinggi kepada hasil minyak.

“GST ialah sistem cukai yang dilaksanakan di seluruh dunia yang lebih telus dan bersistematik berbanding SST,” katanya sambil menambah perubahan dalam sistem cukai negara tidak dapat dielakkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan perubahan itu, Malaysia kini mempunyai arus pendapatan yang lebih pelbagai dan asas kukuh.

“Komuniti perniagaan dan pelabur asing kekal optimistik,” katanya dalam catatan terbarunya di blog NajibRazak.com.

Perdana Menteri berkata, GST tidak digunakan untuk menyelamatkan kerajaan dan isu menggunakan hasil GST untuk membayar usaha niaga yang gagal tidak timbul,” katanya.

Beliau menjawab dakwaan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa kerajaan menggunakan GST untuk menyelamatkan usaha niaga kerajaan yang mengalami kegagalan berkata, kerajaan mendedahkan bagaimana hasil GST diperuntukkan dalam bajet akan datang.

“Untuk mengatakan mereka, yang bukan golongan pembayar cukai pendapatan, menyelamatkan kerajaan hanyalah fakta diputar belit,” katanya yang mendedahkan sebahagian besar bantuan kerajaan diperuntukkan kepada kumpulan khusus ini.

“Mereka malahan diberi ganjaran dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya sambil menambah kerajaan memperuntukkan RM13 bilion dari 2012 hingga 2015 bagi BR1M yang memberi manfaat kepada hampir 7.4 juta rakyat.

Menjelaskan mengenai usaha niaga kerajaan, Najib berkata, terdapat banyak usaha niaga yang berjaya dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebagai contoh, 20 GLC utama kita mencatatkan jumlah pulangan pemegang saham 12.6 peratus setahun dari 2004 hingga 2015, mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur pada 12.2 peratus setahun.

“Permodalan pasaran juga meningkat 3.2 kali daripada RM133.8 bilion pada 2004 kepada RM431.1 bilion pada 2015. Jumlah keuntungan bersih melonjak daripada RM9.9 bilion kepada RM26.2 bilion dari 2004 hingga 2015,” katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa menambah baik pengurusan kewangannya termasuk meningkatkan kecekapan GLC dan memaksimumkan pulangan mereka.

Beliau berkata, GLC mencatatkan pulangan lebih banyak dan berkembang lebih daripada biasa daripada segi nilai, dengan peningkatan ketelusan, pertanggungjawaban dan daya saing di bawah Program Transformasi GLC.

“Pentadbiran ini meningkatkan kepentingan dan kebebasan diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit Kewangan Negara bagi melaporkan semua ketirisan,” katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:47am
d