mutakhir

'Busking' untuk mangsa gempa

Kota Kinabalu: Prihatin dengan nasib ahli keluarga mangsa gempa bumi yang kehilangan insan tersayang mendorong juara Akademi Fantasia (AF) 2014, Firman mengambil inisiatif membantu mengumpul dana dengan melakukan ‘busking’ atau persembahan jalanan di Anjung Senja, kelmarin.

Kehadiran Firman bersama Firmation Band mendapat perhatian orang ramai yang menjamu selera di kawasan itu dan turut menderma bagi membantu keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi pada Jumaat lalu.

“Program Busking Amal Firman bertujuan mengutip dana atau sumbangan untuk diserahkan kepada mangsa gempa bumi.

“Pada masa sama, sumbangan ini membolehkan bantuan diberikan kepada malim gunung yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat yang rancak dilakukan ketika ini,” katanya.

Firman berkata, program itu secara tidak langsung menyedarkan masyarakat khususnya belia supaya turut sama membantu.

“Program ini turut disertai beberapa kumpulan busker tempatan selain membabitkan kumpulan akustik dari Semenanjung.

“Selain menghiburkan pengunjung yang datang, kami mengadakan pungutan derma sekiranya mereka sudi membantu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Permuafakatan Komuniti 1Malaysia (K1M) Sabah bersama Kelab Anggota Jabatan Penerangan Sabah (KAPSA) turut melancarkan tabung K1M-KAPSA untuk mangsa gempa.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:51am
d