mutakhir

Sebak bawa abu anak

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

Georgetown: Balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, di sini, sunyi seketika sebaik abu mayat mangsa pendaki Gunung Kinabalu Lim Choon Seong, 45, dibawa melalui kawasan itu, di sini, semalam.

Abu mayat mendiang dibawa keluar ibunya sambil diiringi dua ahli keluarga selepas menaiki pesawat AirAsia AK 5323 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Sabah sebelum tiba di LTAPP, jam 4.35 petang.

Ibu mangsa yang membawa abu mayat dalam beg berwarna gelap dilihat menitiskan air mata ketika dihampiri wakil media, namun enggan memberikan kenyataan berhubung kejadian itu.

Difahamkan, abu mayat mendiang yang juga kakitangan swasta yang bertugas di China itu akan dibawa pulang ke rumah sebelum disemadikan di Air Itam, di sini.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun itu terkorban dalam bencana gempa bumi ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, gempa bumi berukuran 5.9 magnitud melanda kawasan Ranau menjadikannya gempa terkuat pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil yang turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:53am
d