mutakhir

Dua mayat tak dituntut

Kota Kinabalu: Dua mayat pendaki Gunung Kinabalu masing-masing dari China dan Jepun masih belum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu Dr Heric Corray berkata, pihaknya masih menunggu ketibaan waris untuk diserahkan bagi urusan pengebumian.

“Pihak hospital akan menunggu ahli keluarga mangsa hadir bagi tujuan pengecaman identiti sebelum proses bedah siasat dilakukan.

“Bagaimanapun identiti kedua-duanya tidak dapat didedahkan sebagai menghormati permintaan pihak kedutaan negara masing-masing selain ahli keluarga mereka, ” katanya ketika sidang media di HQE Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dr Heric berkata, keadaan kedua-dua mangsa sempurna walaupun mengalami kecederaan parah akibat dihempap runtuhan batu.

“Sehingga hari ini (semalam) sebanyak 13 mayat sudah dituntut ahli keluarga masing-masing.

“Lima daripadanya warga tempatan manakala tujuh lain warga Singapura serta satu warga Filipina,” katanya.

Menurutnya, mayat terakhir dituntut setakat ketika ini ialah Muhammad Loqman Karim yang dibawa pulang ahli keluarga petang kelmarin.

“Kebanyakan punca kematian disebabkan ‘blood trauma’ atau kecederaan parah akibat dihempap objek keras dan terjatuh.

“Hanya mayat mendiang Robbi Sapinggi tidak dibawa ke HQE tetapi diperiksa sekumpulan pakar perubatan yang dihantar ke Hospital Daerah Ranau bagi bedah siasat,” katanya.

Dr Heric berkata, rakyat tempatan dan sebilangan warga asing yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu dirawat di HQE II di Damai, Luyang.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:57am
d