mutakhir

Banteras rokok seludup 24 jam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Gombak: Seramai 25 individu sudah dihadapkan ke mahkamah di Selangor mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, sepanjang tempoh itu, 38 individu ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penjualan rokok dan minuman keras seludup di seluruh Selangor.

“Seramai 25 individu dihadapkan di mahkamah kerana memiliki rokok seludup manakala 13 lagi ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen sama kerana menjual minuman keras seludup,” katanya ketika majlis pelancaran Op Pacak Rokok dan Arak Seludup 2015 (Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) di Tapak Pasar Malam Taman Greenwood, di sini, semalam.

Matrang berkata, kejayaan terbaru JKDM membabitkan tangkapan dua individu yang didapati menjual rokok seludup di dua kedai runcit di Puchong, Isnin lalu.

Sehubungan itu, katanya, 70 pegawai dan anggota JKDM bertapak selama 24 jam di Greenwood, di sini, bermula 7 hingga 21 Jun depan dalam usaha membanteras rokok seludup.

Menurutnya, operasi disertai agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Pembandaran Selayang (MPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi ini bertujuan menyekat penjualan dengan menjalankan pemeriksaan dan serbuan selain rondaan berkala di premis yang sudah dikenal pasti.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta membuat aduan untuk membantu membanteras aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pemeriksaan dan serbuan di Sarawak, Kedah, Perak, Pahang dan Johor bermula tahun lalu bagi membendung kegiatan penjualan rokok seludup.

“Kita mahu masyarakat lihat penguat kuasa mengambil tindakan terhadap peruncit yang menjalankan aktiviti ini,” katanya.

Matrang berkata, pihaknya menyasarkan penurunan ketirisan cukai rokok sebanyak 30 peratus iaitu daripada RM1.84 bilion ke RM1.6 bilion setiap tahun melalui Op Pacak dan Op Outlet yang dijalankan secara agresif di seluruh negara.

“Selain rokok, minuman keras juga kerap diseludup ke negara ini. Hasil kajian mendapati hampir 30 peratus minuman keras di pasaran diseludup,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2015 @ 9:31am
d