mutakhir

Geng Racun hilang bisa

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Dua suspek yang terkenal dengan nama jolokan ‘Geng Racun’ dicekup polis 48 jam selepas mereka menyamun sebuah kedai kek dan roti dalam serbuan di Bukit Rambai, di sini, jam 5 petang kelmarin.

Suspek lelaki berusia 26 dan 36 tahun itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun, ragut dan pecah masuk kedai serbaneka di beberapa lokasi di daerah ini sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah berkata, dengan tertangkapnya dua suspek terbabit, pihaknya yakin dapat menyelesaikan lapan kes samun, ragut dan pecah masuk kedai serbaneka yang dilaporkan sejak bulan lalu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu kebiasaannya menunggang motosikal untuk mencari premis yang dijadikan sasaran dan mereka turut membawa bersama parang panjang yang digunakan untuk menakutkan mangsa.

“Mengikut siasatan yang kami lakukan, suspek akan mengacu senjata tajam itu ke arah mangsa, tetapi tidak membabitkan kecederaan terhadap mana-mana individu sepanjang melakukan samun.

“Semakan dilakukan pula mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan melakukan ugutan jenayah,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Shaikh Adzis berkata, susulan maklumat diperoleh daripada suspek, pihaknya melakukan satu lagi serbuan ke sebuah rumah di Bukit Rambai, jam 10 malam hari sama dan menahan dua kenalan mereka berusia 24 dan 36 tahun bagi membantu siasatan kes.

“Kami turut melakukan ujian saringan air kencing dan mendapati semua individu yang ditahan itu positif dadah jenis methapitamine dan mereka kini direman tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan.

“Selain itu, polis turut menemui semula barangan dipercayai hasil samun iaitu dua unit telefon pintar, sebuah motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu, dua parang panjang dan alat penyembur serbuk lada,” katanya.

Dalam kejadian di sebuah kedai kek dan roti di Jalan Melaka Baru jam 9.20 malam, Isnin lalu, tiga pekerja premis berkenaan dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bersenjatakan parang panjang yang kemudian menyamun kedai itu.

Disiarkan pada: June 11, 2015 @ 9:35am
d