mutakhir

Debat tidak wajar: PM

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Sebagai Perdana Menteri, memang tidak wajar debat diadakan secara terbuka di khalayak ramai dengan bekas Perdana Menteri dan dari parti politik sama,” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perbahasan seperti itu tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai pucuk pimpinan parti dan negara untuk menjaga nama baik kedua-dua entiti terbabit.

“Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan supaya perkara munasabah dibangkitkan Tun dapat dijelaskan,” katanya melalui entri terkini dalam blog NajibRazak.com semalam.

Najib memberitahu beliau menerima jemputan pada 19 Mei lalu untuk menghadiri majlis dialog tertutup bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang ditentukan pihak penganjur iaitu SukaGuam (Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia) dan JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas).

Sebagai menghargai jemputan itu, beliau setuju hadir ke majlis dinamakan ‘Dialog PM bersama NGO’ bagi membincangkan isu semasa.

Kata beliau, sesi dialog itu antaranya menjelaskan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM42 bilion tidak lesap sebagaimana didakwa Dr Mahathir.

“Dalam hal ini, sukacita saya memaklumkan Kementerian Kewangan bersama 1MDB menjana satu pelan rasionalisasi untuk mengurangkan tahap hutang syarikat itu dan baru-baru ini, 1MDB membuat pembayaran RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat ini.

“Namun, amat dukacita apabila usaha ini tidak disambut baik oleh pihak yang mengkritik hutang syarikat itu,” kata beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, majlis itu bertukar format daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka.

Justeru, beliau berkata, perubahan seperti itu mengakibatkan majlis berkenaan menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antara Dr Mahathir dengannya.

Beliau kesal acara itu dibatalkan atas alasan keselamatan dan niatnya untuk berdialog dengan NGO yang dijemput tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun, beliau akan terus menyampaikan maklumat dalam segala bentuk dan kaedah yang baik serta berhemah.

“Ini termasuk menerima undangan NGO dan saya akan berjumpa dengan kumpulan terbabit dalam masa akan datang ini,” kata beliau.

Disiarkan pada: June 11, 2015 @ 10:27am
d