mutakhir

'Bukan arahan'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya memohon maaf terhadap seorang wanita yang diminta memakai kain batik untuk berurusan di kaunter sebuah cawangannya, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, JPJ tidak mempunyai sebarang peraturan yang menyatakan pelanggan perlu memakai kain batik ketika mahu berurusan di kaunter.

Katanya, pihak kementerian juga akan mengkaji balik kod etika pakaian jika keadaan memerlukan.

“Isu pemakaian kain batik itu mendapat perhatian ramai dan pihak kementerian sudahpun melakukan siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kain batik berkenaan diberikan oleh pengawal keselamatan dan bukannya pegawai JPJ.

“Justeru, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengawal keselamatan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan sempena perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, menurut wanita yang menggunakan akaun Facebook Suzanne G L Tan, dia pergi ke pejabat JPJ berkenaan untuk menandatangani borang pemindahan nama hak milik bagi sebuah kereta yang sudah dijualnya.

Bagaimanapun, Suzanne yang memakai baju berwarna merah jambu dan skirt merah mendakwa didekati seorang kakitangan dan diberitahu supaya memakai kain batik atau tidak akan dilayan.

Dia yang tidak berpuas hati kemudian memuat naik status mempersoalkan tindakan itu bersama beberapa keping gambar.

Disiarkan pada: June 11, 2015 @ 10:46am
d