mutakhir

Peserta termuda gementar

Kuala Lumpur: Pada usia 14 tahun, Ahmad Ayman Dabbousi adalah peserta termuda bagi kategori hafazan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Peserta Lubnan ini antara 11 peserta yang memperdengarkan hafazan mereka pada hari kedua pertandingan, semalam.

Melalui jurubahasa, anak kedua daripada tiga beradik ini yang berasal dari bandar Tripoli, utara Lubnan memberitahu pemberita mengenai perasaan gementarnya bersaing dengan peserta yang lebih dewasa, namun berkat dorongan daripada kedua-dua ibu bapa dan gurunya membuatkannya berasa yakin dan tenang.

Dia memberitahu menghafaz al-Quran sejak berumur tujuh tahun dan berjaya menghafal surah terakhir di Masjidil Haram, Makkah.

“Saya bertuah kerana mendapat didikan khas daripada guru saya iaitu Sheikh Usman Naqdah yang mengajar ilmu hafazan dan Sheikh Yahya Alimuddin yang mengajar saya ilmu tajwid. Saya mengulang kaji tiga juzuk setiap hari selepas sekolah untuk melancarkan hafalan saya.

“Selain itu, saya juga berlatih bersama adik saya, Omar berumur 13 tahun yang mempunyai minat yang sama. Kami sentiasa bersaing secara sihat dalam menghafaz kitab suci umat Islam ini,” kata Ahmad Ayman yang turut menyifatkan pengalaman pertamanya bertanding di luar negara kelahirannya sebagai amat bernilai buat dirinya.

Bapanya, Fouad Dabbousi, 44, dan ibunya, Luba Dannawai, 42, yang turut mengiringinya ke Malaysia berkata, mempunyai anak-anak yang meminati ilmu agama dan boleh menghafal al-Quran sejak kecil adalah anugerah amat berharga buat mereka.

“Kami tidak langsung memikirkan soal kemenangan kerana dia (Ahmad Ayman) sudah menjadi pemenang apabila berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran,” kata Fouad.

Sementara itu, seorang lagi peserta iaitu pensyarah bidang syariah dari Uganda, Mubiru Yusof, 20, berkata, beliau mengambil masa lima tahun untuk menghafaz al-Quran dan telah menyertai pertandingan seumpama ini tujuh kali sebelum ini.

Disiarkan pada: June 12, 2015 @ 10:12am
d