mutakhir

Bakal gantung sijil

Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi dua pusat penyembelihan ayam di daerah ini mungkin akan digantung jika tidak mematuhi amalan kebersihan yang ditetapkan.

Ketua Unit Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Noridzuan Abdul Manan berkata, ia berdasarkan pemeriksaan pihaknya di dua premis itu di Kawasan Perindustrian Semambu dan Padang Lalang, di sini.

Beliau berkata, dua premis itu didapati tidak menggunakan peralatan bersih dan tidak mempunyai sistem kumbahan sistematik, sekali gus meninggalkan sisa buangan yang menyebabkan tempat penyembelihan itu kotor dan berbau busuk.

“Walaupun kesalahan dilakukan remeh, namun jika diulangi dan tiada langkah drastik dilakukan pihak berkenaan, JAIP akan menggantung sijil halal yang dikeluarkan kepada mereka.

“Kami mahu memastikan setiap aspek kebersihan dipatuhi termasuk kesucian makanan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, JAIP memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua pemilik premis itu untuk memastikan semua peralatan dan kawasan itu bersih dan tidak berbau sebelum pemeriksaan susulan dijalankan.

“Kami tidak mahu mereka mengabaikan aspek kebersihan selaras dengan konsep halalan toyyiban yang sentiasa diuar-uarkan kepada pemilik premis makanan halal di negeri ini.

“Namun, perkara yang mendukacitakan adalah walaupun sudah ditegur berulang kali, pihak pengurusan tidak mengambil serius. Sebaliknya, masalah kebersihan sentiasa masih dikesan di pusat penyembelihan terbabit,” katanya.

Noridzuan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan pusat penyembelihan yang menerima sijil halal melaksanakan proses penyembelihan yang mengikut kaedah syarak.

Katanya, pengurusan premis perlu menitikberatkan standard dan dan menepati piawaian ditetapkan kerana ada kalangan pengusaha bukan saja menjadi pembekal di daerah itu, tetapi di beberapa daerah lain.

Disiarkan pada: June 13, 2015 @ 5:22am
d