mutakhir

'Zalim daripada binatang'

Kuala Lumpur: “Lebih zalim daripada binatang. Tidak ada agama di dalam dunia ini menyuruh tindakan penghapusan etnik, sebaliknya ia satu tindakan tidak berperikemanusiaan.”

Demikian tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selain mendesak kepada negara anggota ASEAN supaya mengeluarkan Myanmar daripada gabungan berkenaan sebagai tekanan kepada rejim junta terhadap tindakan kejam mereka kepada etnik Rohingya.

Beliau berkata, tindakan penghapusan etnik dilakukan rejim junta di Myanmar tidak boleh diterima kerana ia jelas perbuatan bertentangan dengan hak kemanusiaan selain agama.

“Saya fikir lebih baik ASEAN mengeluarkan Myanmar sebagai negara anggota pertubuhan itu memandangkan mereka tidak mengendahkan sebarang desakan atau pandangan negara sekutu lain.

“Ia juga jalan terbaik supaya kerajaan Myanmar sedar terhadap kekejaman mereka. ASEAN tidak boleh terus akur atau membutakan diri sebaliknya bertindak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa: Nasib Etnik Rohingya, Jenayah Kemanusiaan, di sini, semalam.

Mahathir berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melihat perkara ini dengan serius dan tidak seharusnya membiarkan penganiayaan terhadap etnik Rohingya.

Menurutnya, dasar ASEAN yang tidak mahu mencampuri urusan dalaman negara anggota juga perlu dilihat semula memandangkan kekejaman terhadap etnik berkenaan bukan lagi masalah dalaman Myanmar, sebaliknya menjadi masalah antarabangsa.

“Saya dulu (Perdana Menteri) faham ASEAN tidak mahu mencampuri urusan politik dalaman negara anggota, tetapi biarlah bertempat dan mempunyai batasan tertentu.

“Apa dilakukan Rejim Junta terhadap etnik Rohingya jelas melampaui batas termasuk mencabul hak rakyat asal negara itu. Etnik berkenaan menduduki Burma (Myanmar) sejak 800 tahun dulu dan kini hak mereka dinafikan,” katanya.

Beliau berkata, seluruh masyarakat dunia perlu bersatu dan mendesak kekejaman dilakukan Rejim Junta dihentikan serta merta sekali gus menghormati hak kemanusiaan etnik berkenaan.

Disiarkan pada: June 13, 2015 @ 5:28am
d