mutakhir

Usia 13 hafal 30 juzuk

Kuala Lumpur: Farihah Zulkifli, 20, bersyukur kerana pada usia 13 tahun dia sudah dapat menghafal keseluruhan 30 juzuk al-Quran.

Dia yang mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, merujuk kejayaannya itu kerana dipaksa memasuki sekolah tahfiz pada usia 7 tahun.

“Pada mulanya saya memang tidak berminat langsung ke sekolah tahfiz kerana merasakan pembelajarannya begitu sukar. Tetapi tiga tahun kemudian iaitu pada usia 10 tahun, saya dapat menyesuaikan diri dan seterusnya mencintai ilmu al-Quran,” katanya.

Dia antara 10 peserta yang memperdengarkan hafazan masing-masing pada hari terakhir pertandingan bagi kategori tersebut hari ini.

Anak kedua daripada tujuh beradik ini berkata, dia diajar membaca al-Quran oleh ibu bapanya ketika berumur empat tahun sebelum dihantar ke Maahad Tahfiz Al-Quran Al Itqan di Ampang, Selangor.

“Saya kini bersyukur kerana dihantar ke sekolah aliran agama yang ilmu yang diperoleh tidak ternilai harganya bagi saya,” katanya.

Anak jati Selangor ini kini menyambung pengajian peringkat Diploma Tahfiz di Darul Quran yang dikelola sepenuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut berharap menjadi johan pada pertandingan kali ini.

“Saya berhasrat mengikut jejak langkah Noorhafizah Mohd Safee yang menjuarai kategori hafizah tahun lalu,” katanya.

Farihah yang pernah mewakili negara pada peringkat antarabangsa di Jordan pada 2013 berkata, beliau mengamalkan madu untuk melancarkan hafazan dan menguatkan daya ingatan.

Seramai 32 peserta menyertai kategori hafazan. Malaysia turut diwakili Muhammad Syazani Jemy, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh, Negeri Sembilan.– BERNAMA

Disiarkan pada: June 13, 2015 @ 5:41am
d