mutakhir

Sumbang 10 sen

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kempen tahunan Mari Beramal Bersama Colgate yang memasuki edisi kelapan tahun ini bakal menyumbang masing-masing 10 sen dan 20 sen bagi setiap jualan pek tunggal atau pek berkembar produk Colgate kepada 15 rumah anak yatim terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Kanan (Pemasaran Ubat Gigi) Colgate-Parmolive Malaysia Datin Nor Aziah Mohd Said berkata, kempen bertemakan ‘I Am My Own Greatness’ itu bermula 1 Jun hingga 31 Julai ini di mana pek-pek amal Colgate berkenaan boleh didapati di semua gedung membeli-belah utama di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada 2008, kempen berkenaan sudah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.07 juta di mana ia memberi manfaat kepada lebih 2,000 kanak-kanak dari 55 rumah kebajikan di negara ini.

“Kami di Colgate-Palmolive sentiasa menyokong usaha memperkasakan hidup anak-anak yatim melalui pelbagai projek kemasyarakatan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Keutamaan kami ialah mencipta peluang pendidikan; meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup serta menjalin hubungan dengan komuniti setempat menerusi sumbangan dan aktiviti kesukarelawan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen dan Kem Saya Boleh di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Komuniti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zulkifli Ismail.

Katanya, kempen Mari Beramal Bersama Colgate adalah salah satu daripada kempen yang paling dekat di hati pihaknya kerana ia membawa kemuliaan Ramadan yang mengajak semua orang semua supaya berkongsi dan memberi sumbangan.

Nor Aziah berkata, kempen itu bukan sekadar memberi peluang kepada Colgate untuk meluahkan semangat perpaduan dan perikemanusiaan, malah ia turut membabitkan penyertaan pengguna serta organisasi.

Pada pelancaran sama, Colgate-Palmolive turut meraikan 123 murid dan pelajar sekolah yang bernaung di bawah enam pertubuhan kebajikan dan anak-anak yatim menerusi Kem Saya Boleh yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Putrajaya.

Mereka mewakili enam pertubuhan kebajikan masing-masing Pertubuhan Kebajikan dan Anak-Anak Yatim & Warga Miskin Parit dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Dahikmah, Perak; Good Samaritan Home, Klang, Selangor; Pertubuhan Bela Didik Anak-Anak Yatim (BEDAYA), Kulim, Kedah; Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Perlis dan Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-Anak Yatim Miskin Daerah, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 13, 2015 @ 5:49am
d