mutakhir

Tingkat keupayaan usahawan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri mahu melihat lebih banyak institusi kewangan menawarkan skim pembiayaan mikro bagi meningkatkan kebolehupayaan semua usahawan termasuk mereka yang baru memulakan perniagaan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan itu juga mampu membantu usahawan yang berada di semua peringkat pencapaian, merangkumi kumpulan berpendapatan rendah.

“Kita mahu semua usahawan kita menerima bantuan dan galakan terhadap apa saja yang mereka perlu dan harapkan,” katanya ketika merasmikan persidangan dan pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Mohd Latip Sarrugi.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, industri francais Malaysia sudah melakukan lonjakan besar sejak kerajaan memperkenal Pelan Tindakan Pembangunan Francais Negara pada 2012.

“Ia merangkumi arah tuju, meningkatkan daya saing francais Malaysia serta mentransformasikan perniagaan negara menerusi pembiayaan.

“Kini, negara mempunyai Pelan Tindakan Pembangunan Francais (2016-2020) yang berpotensi mewujudkan 50,000 pekerjaan baru dalam tempoh empat tahun lagi,” katanya.

Namun, bagi merealisasikan perancangan itu, Najib berkata, industri berkenaan perlu bergerak ke hadapan daripada sektor tradisional seperti makanan dan minuman, pakaian, kesihatan dan kecantikan.

“Sektor ini perlu beralih kepada sektor yang menjanjikan peluang besar seperti pendidikan, produk dan perkhidmatan hijau, pelancongan perubatan serta produk dan perkhidmatan patuh syariah,” katanya.

Sementara itu Hasan berkata, sehingga kini sebanyak 60 jenama francais sudah menembusi pasaran dunia di 55 negara dengan jumlah sebanyak 2,160 outlet.

“Setakat ini, sebanyak 773 syarikat francais berdaftar dengan KPDNKK dengan jumlah terbesar adalah sektor makanan dan minuman sebanyak (36 peratus) diikuti perkhidmatan dan penyelenggaraan 12 peratus.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan francais menceburi sektor baru seperti teknologi maklumat, pelancongan dan teknologi hijau,” katanya.

Menurut beliau, sempena penganjur FIM 2015 selama dua hari itu juga, empat syarikat tempatan iaitu Naza Tutti Fruitti, Marybrown, Kubah Emas Resources dan Smart Reader Worldwide turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai syarikat antarabangsa.

Disiarkan pada: June 14, 2015 @ 5:14am
d