mutakhir

Rumah api penyelamat

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Empat kaki pancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki dipukul ombak besar sebelum berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 5 (DM5) dalam kejadian di perairan Port Dickson-Lukut, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, semua mangsa dikatakan keluar memancing sebelum cuaca tiba-tiba hujan dan ribut.

Difahamkan, akibat cuaca buruk itu, bot yang dinaiki dipukul ombak besar namun disebabkan jarak antara lokasi kejadian agak jauh kira-kira tiga batu nautika mereka tidak dapat pulang ke jeti.

Ketua Penguat Kuasa APMM DM5 Kuala Linggi Laksamana Pertama Maritim Abu Bakar Idris berkata, semua kaki pancing terbabit berusia antara 35 dan 47 tahun diselamatkan pada jam 3.55 pagi.

“Cemas dengan cuaca buruk ketika itu, mereka mengambil keputusan berlindung di rumah api tidak jauh di kawasan perairan berkenaan sebelum tali mengikat bot mereka terputus dan bot hilang dipukul ombak.

“Hampir satu setengah jam mereka berada di rumah api itu sebelum seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan daripada ibu pejabat pada jam 2.45 pagi, sepasukan anggota APMM bergegas ke lokasi kejadian.

Disiarkan pada: June 14, 2015 @ 5:18am
d