mutakhir

Kereta masuk restoran

Kajang: Beberapa pekerja sebuah restoran rangkaian jenama tempatan terkejut apabila sebuah kereta pacuan empat roda yang terbabas merempuh restoran berkenaan dalam kejadian di Metro Point, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, beberapa pekerja yang berada di bahagian dapur dikatakan cuba melarikan diri dari pintu hadapan selepas berlaku gegaran kuat sebelum terkejut apabila melihat sebuah kereta berada di hadapan kaunter premis.

Sebaik kejadian itu, beberapa pekerja terbabit kemudian membantu mengeluarkan pemandu kereta berkenaan yang juga wanita berusia 54 tahun sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, pemandu wanita terbabit cuba memasuki kawasan parkir di hadapan premis berkenaan sebelum tiba-tiba tertekan pedal minyak dan terus merempuh cermin restoran berkenaan.

Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada pelanggan dan hanya terdapat beberapa pekerja berada di dalam restoran itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Honda CRV itu hilang kawalan ketika cuba memasuki parkir di hadapan premis itu.

Disiarkan pada: June 15, 2015 @ 8:54am
d