mutakhir

Maut bertembung pacuan empat roda

Gombak: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 23 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Taman Commonwealth Rimba Templer, Rawang, malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa yang berusia 21 tahun dan memandu seorang diri dalam perjalanan dari Rawang ke Selayang.

Jurucakap polis trafik berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu jam 12.21 tengah malam.

“Siasatan awal yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Honda City, pacuan empat roda model Toyota Hilux dan sebuah motosikal.

“Kereta Honda City yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah Selayang,” katanya.

Menurut jurucakap itu, sebuah motosikal dari arah Selayang juga tidak sempat mengelak dan merempuh kereta Honda City berkenaan.

“Pemandu kereta itu maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat manakala pemandu Toyota Hilux dan penunggang motosikal dilaporkan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selayang mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.01 malam sebelum sebuah jentera dihantar ke lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: June 15, 2015 @ 9:28am
d