mutakhir

Tukang urut panik panjat bumbung

Kuala Terengganu: Seorang tukang urut wanita nekad memanjat bumbung bangunan bagi mengelak dicekup anggota Jabatan Imigresen yang melakukan serbuan Ops Ikrar di premis tempat wanita terbabit di bandar raya ini, kelmarin.

Sebelum kejadian, wanita 39 tahun itu dikatakan sedang berehat sementara menunggu pelanggan, kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu Ahmad Salihin Salleh berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota imigresen, wanita terbabit yang dipercayai bekerja di premis itu sejak awal tahun ini melarikan diri ke arah bumbung bangunan berkenaan.

“Wanita itu cuba bersembunyi di atas bumbung premis berkenaan kerana menyedari kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Bagaimanapun, cubaannya gagal selepas anggota yang melakukan serbuan menyedari tindakan itu sebelum menahannya,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, katanya, seorang lelaki Bangladesh cuba memperdaya anggota imigresen apabila menunjukkan dokumen palsu ketika pemeriksaan.

Katanya, lelaki terbabit yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah itu tidak menyangka rumah kongsi didiaminya diserbu anggota imigresen berikutan keadaan hujan lebat ketika itu.

“Menyedari pintu rumah kongsinya diketuk, lelaki terbabit tanpa rasa bimbang dan penuh yakin menyerahkan dokumen perjalanan kepada pegawai imigresen dan pemeriksaan mendapati ia palsu,” katanya.

Serbuan bermula jam 9 malam diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu Ahmad Salihin Salleh bersama 15 anggota dan pegawai dilakukan berikutan aduan orang awam dan hasil risikan jabatan berkenaan.

Katanya, dalam serbuan berakhir jam 2.30 pagi, pihaknya memeriksa 47 warga asing dari pelbagai negara yang bekerja di tapak pembinaan, rumah urut dan rumah kongsi di daerah ini dan Kuala Terengganu.

“Daripada 47 warga asing terbabit, kami menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 8:18am
d