mutakhir

Kuat kuasa dasar pemilikan hartanah

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) akan menguatkuasakan Dasar Pemilikan Hartanah (Perumahan dan Perniagaan) Kampung Baru bagi memastikan kepentingan semua pihak diimbangi tanpa mengira bangsa.

Dasar ini akan menjadi panduan kepada PKB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju serta pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan di Kampung Baru.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, dasar ini turut memperuntukkan peluang kepada bukan Bumiputera sebagai pemegang hartanah di Kampung Baru.

“Dasar ini terbahagi dua. Pertama, Dasar Pemilikan Hartanah bagi kawasan ‘Malay Agriculture Settlement (MAS)’ dan kedua, Dasar Pemilikan Hartanah bagi kawasan di luar MAS.

“Bagi yang pertama, antara kandungannya ialah setiap pembangunan, perumahan atau perniagaan, perlu menetapkan kuota pemilikan sebanyak 30 peratus yang merujuk kepada pemilik dan pewaris tanah, penduduk serta peniaga di Kampung Baru dengan insentif harga sebanyak lima peratus,” katanya menjawab soalan lisan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, semalam.

Bagi yang kedua, Dr Loga Bala berkata, antara dasarnya ialah, lot tanah di kawasan ini umumnya terdiri daripada tanah pegangan bebas dan pajakan (99 tahun) yang tidak tertakluk kepada sekatan pemilikan orang Melayu.

“Ia merujuk kepada Bumiputera dengan insentif harga antara lima hingga tujuh peratus kecuali kawasan Raja Bot manakala baki kuota pemilikan 50 peratus lagi terbuka kepada bukan Bumiputera,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 9:25am
d