mutakhir

Ambil kiraimpak pengguna

Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Aspek penanggungan kos operasi serta penyelenggaraan akan diberi perhatian dalam penstrukturan semula kadar tol di jajaran Lebuhraya Persekutuan sepanjang 823 kilometer namun yang paling utama ialah kesannya kepada pengguna.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bagi memastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan menstrukturkan semula kadar kenaikan tol di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 1999, 2002 dan 2011.

“Contoh, kadar tol di Plaza Tol Batu Tiga yang sepatutnya dibayar pengguna ialah RM2.40 bagi 2015 berbanding kadar semasa RM1.10 yang kekal sejak 2005.

“Penstrukturan semula ini turut diteliti berdasarkan aspek keberhasilan kutipan di kesemua plaza tol di sepanjang jajaran ini,” katanya menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) di Dewan Rakyat, semalam.

Khalid bertanyakan status Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Rosnah, penstrukturan diteliti melalui keberhasilan setiap plaza tol kerana tidak semua plaza tol berkenaan memperoleh hasil tinggi kerana ia bergantung kepada jumlah trafik.

“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang boleh mengurangkan kos rakyat termasuk menutup plaza tol, memansuhkan tol serta mengurangkan kadar tol,” katanya.

Pada masa sama, Rosnah memaklumkan jumlah kutipan harian bagi Plaza Tol Batu Tiga ialah RM228,650 manakala Plaza Tol Rasau pula RM149,836.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 9:29am
d