mutakhir

Projek tak tepati sasaran

Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan projek Replikasi Model Pertanian Akuakultur Bersepadu yang menelan kos RM2.142 bilion kerana terdapat beberapa isu berbangkit seperti projek tidak menepati kemajuan sasaran ditetapkan selain tidak disiapkan mengikut masa ditetapkan.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, KSU Kementerian berkenaan perlu dipanggil kerana satu daripada isu yang timbul membabitkan dokumen kontrak bernilai lebih RM100 juta.

“Dokumen kontrak bernilai lebih RM100 juta berkenaan ditandatangani KSU kementerian berkenaan.

“Sepatutnya, bagi dokumen kontrak yang melebihi RM100 juta, hanya menteri saja boleh menurunkan tandatangan,” katanya pada sidang media selepas Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 siri ke-2 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Pada masa sama, menurut Nur Jazlan, pada pembentangan berkenaan, pihaknya turut akan memanggil Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Ekonomi Utara (NCIA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkaitan isu berbangkit.

Menurutnya, berkaitan JPM, ia mengenai pengurusan penyelenggaraan bot serta kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Bot serta kapal APMM berkenaan digunakan untuk meronda perairan Sabah dan jumlah pengurusan penyelenggaraannya RM231 juta.

“Kami dapati ada isu berkaitan pembayaran tidak mengikut tatacara dan PAC akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tatacara pengurusan kewangan mereka,” katanya.

Berkaitan NCIA pula, Nur Jazlan berkata, pihak berkenaan terbabit dalam projek akuakultur dengan kos program RM79.6 juta.

“PAC mendapati pengurusan di bawah NCIA kurang memuaskan, malah lima syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam projek berkenaan dipilih secara rundingan terus. Ada juga isu lain yang perlu dijelaskan NCIA,” katanya.

Selain itu, bagi JKDM, Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil agensi berkenaan sekali lagi bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kutipan hasil daripada syarikat yang disiasat JKDM kerana pelbagai isu.

“PAC mahu tahu sama ada tatacara penyiasatan yang dilakukan JKDM adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan hasil daripada syarikat yang melarikan diri daripada membayar cukai kepada kerajaan,” katanya.

Menurut Nur Jazlan, isu perbelanjaan untuk semua aset milik kerajaan seperti bangunan dan peralatan turut disentuh pada pembentangan berkenaan.

“Kita dapati kerajaan tidak membeli barangan untuk tujuan penyelenggaraan. Sepatutnya, semakin lama diguna maka semakin tinggi kos selenggara.

“Bagaimanapun, ketika ini, semakin lama maka semakin kurang bajet untuk penyelenggaraan menyebabkan aset berkaitan uzur sebelum rosak dan terpaksa dilupuskan,” katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan turut menegur pengurusan Hotel Seri Malaysia di seluruh negara yang didapati bermasalah daripada segi pengurusan kewangan.

“PAC dapati wujud pembayaran diragui dan kami akan siasat hotel di bawah Kementerian Kewangan ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 9:46am
d