mutakhir

Yassin sudah ditahan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Fardy Bungga

Putrajaya: “Yassin (dalang utama sindiket pemerdagangan manusia) sudah ditahan pihak berkuasa Thailand dan akan dibawa ke Malaysia untuk siasatan lanjut,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pihak berkuasa Thailand sebelum ini sudah menyerahkan beberapa dalang sindiket pemerdagangan manusia kepada pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terutama berhubung penemuan kem haram dan kubur 106 mayat di Wang Kelian, Perlis, baru-baru ini.

“Pihak berkuasa Malaysia akan menyoal siasat dalang terbabit termasuk mengenal pasti pembabitan mereka dalam aktiviti itu.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak berkuasa Thailand kerana memberi bantuan kepada Malaysia untuk masuk ke negara berkenaan dan mengesan individu bertanggungjawab dalam aktiviti pemerdagangan manusia itu.

“Soal siasat akan dilakukan sebelum mereka didakwa di mahkamah,” katanya yang mendakwa dalang bernama Yassin sebelum ini sudah melarikan diri ke Thailand.

Katanya, kerajaan percaya lebih daripada tiga Individu terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia dari negara jiran ke negara ini.

“Kita berterima kasih kepada pihak berkuasa Thailand kerana membantu menahan individu yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti penyeludupan masyarakat Rohingya.

“Kita akan terus memburu dalang sindiket penyeludupan manusia itu untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan polis juga mendapati, penempatan haram sindiket pemerdagangan manusia Rohingya di sempadan Malaysia lebih bersifat sementara berbanding di Thailand.

“Siasatan pihak berkuasa mendapati penempatan haram di hutan simpan Perlis itu hanya menempatkan seketika pelarian Rohingya sebelum dihantar ke destinasi lain,” katanya.

Terdahulu, Zahid yang menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, Christophe Penot di pejabatnya pagi semalam berkata, Malaysia bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman negara ini kepada polis dan penjara Perancis mengenai program pemulihan dijalankan terhadap tahanan militan terutama yang terbabit dengan Kumpulan Negara Islam (IS).

“Perancis akui terdapat ramai warganegara mereka terutama yang berasal dari negara bahagian Afrika utara terbabit dalam IS, mereka mungkin boleh guna pengalaman dan pendekatan kesederhanaan kita untuk melaksanakan program pemulihan ini.

“Kita menawarkan kepada polis dan pegawai pemulihan penjara Perancis untuk ditempatkan di Malaysia sama ada bersama polis negara ini dan Jabatan Penjara, atau mungkin mereka juga boleh pelajari dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengenai soal pemulihan yang membabitkan penyelewengan akidah dan pegangan agama individu yang berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Perancis menzahirkan ucapan terima kasih kepada polis negara ini yang memberi kerjasama baik kepada pelancong dari negara itu.

“Namun, terdapat beberapa kawasan panas jenayah jalanan yang menjadikan pelancong asing termasuk dari Perancis sebagai sasaran. Justeru, tiga langkah tambahan diambil termasuk menambah anggota dan kekerapan rondaan antaranya di Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Petaling,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 9:50am
d