mutakhir

Berhimpit dalam pondok

Baling: Empat sekeluarga terpaksa berteduh dalam keadaan berhimpit di sebuah pondok buruk berdindingkan buluh, berlantai kayu hutan dan beratap zink terbuang di Kampung Charok Sotong, Mukim Siong dekat sini, sejak setahun lalu akibat kemiskinan.

Lebih memilukan apabila mereka terpaksa berpindah tempat tidur jika hujan kerana pondok berkenaan begitu usang disebabkan ketua keluarga Mohd Zuhud Abd Aziz, 24, tiada pendapatan tetap kerana hanya bekerja kampung berikutan menghadapi masalah kesihatan.

Mohd Zuhud berkata, dia terpaksa membawa isteri Norsuriati Ibrahim, 22, bersama dua anak Mohd Wafi Daniel, 3, dan Nortiara Shafiqa, 12 bulan, tinggal di pondok berhampiran rumah bapanya sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan.

Menurutnya, dia tidak mampu membayar sewa rumah kerana tiada pendapatan tetap selain tidak mahu menyusahkan ibu bapanya berikutan sudah berkeluarga dan mahu berdikari meskipun terpaksa tinggal di pondok buruk dalam keadaan serba kekurangan.

“Sebelum ini, saya menyewa rumah tetapi tidak mampu membayar sewa bulanan menyebabkan kami anak-beranak terpaksa berpindah dan mengambil keputusan tinggal di pondok diperbuat daripada bahan terbuang dan kayu hutan.

“Pada masa sama, saya tidak mampu melakukan kerja berat kerana masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di sini, kelmarin.

Katanya, dia begitu terharu apabila pemimpin berkenaan mengunjungi keluarganya yang tinggal di pondok buruk itu dan meluluskan pembinaan sebuah rumah bagi membolehkan mereka tinggal lebih selesa sekali gus mampu mengubah kehidupan.

“Saya gembira mendapat sebuah rumah lebih selesa bagi mengubah kehidupan kami sekeluarga. Saya kini hanya perlu memikirkan untuk mencari nafkah bagi membesarkan anak-anak supaya masa depan mereka lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau dimaklumkan mengenai keluarga itu yang tinggal di pondok buruk dalam keadaan serba kekurangan sebelum mahu melihat sendiri kehidupan mereka sekali gus meluluskan sebuah rumah lebih selesa.

“Menjadi tanggungjawab saya membantu masyarakat daif, lebih-lebih lagi soal tempat tinggal dengan anak-anak yang masih kecil perlu diberi perhatian.

“Anak-anak perlu membesar dalam suasana selesa supaya mereka dapat belajar dengan baik dan mampu mengubah nasib keluarga pada masa depan.

“Pembinaan rumah itu akan dilakukan segera bagi membolehkan keluarga itu menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan di rumah baru nanti,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2015 @ 10:39am
d