mutakhir

'Tidak patut'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Seramai 2,000 lagi kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) didakwa bakal diberhentikan menerusi pelan pemulihan syarikat itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Ab Malek Ariff berkata, sehubungan itu kesatuan meminta pengurusan MAS menjelaskan dakwaan itu yang membabitkan kebajikan dan masa depan kakitangan syarikat penerbangan nasional itu.

“Ini zalim, mulanya 6,000 pekerja MAS, namun sekarang saya mendapat maklumat seramai 8,000 orang pula bakal diberhentikan secara berperingkat,” katanya tanpa menjelaskan sumber maklumat itu pada sidang media di pejabat kesatuan itu di sini, semalam.

Ab Malek berkata, pihaknya menerima pelan pemulihan MAS yang dilakukan bagi memantapkan semula operasinya, namun menegaskan adalah tidak wajar pekerja syarikat penerbangan negara itu dipersalahkan punca kemerosotan MAS ketika ini.

“Ketika ini ramai pekerja dibuang, sampai ada jabatan sehingga 50 peratus, malah ada jabatan yang ditutup operasi.

“Anggaran kakitangan yang diberhentikan termasuk bahagian kejuruteraan antara 1,500 dan 2,000 orang, anak kapal (780 orang hingga 1,500), kakitangan teknikal (100 orang), kakitangan bahagian operasi (1,300 orang) dan kakitangan sokongan (200 orang),” katanya.

Beliau berkata, seramai 400 kakitangan MAS di Sabah dan Sarawak terbabit pemberhentian kerja itu selain tiga bahagian perkhidmatan ditutup operasi termasuk pembayaran gaji dan keselamatan serta diambil alih bahagian lain atau menggunakan syarikat keselamatan luar.

Dalam perkembangan sama, Ab Malek memberitahu pihaknya turut menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan ketidakpuasan hati kakitangan MAS mengenai pemberhentian kerja dan penyerapan ke dalam syarikat baru Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Surat itu disampaikan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan kesatuan berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya oleh Perdana Menteri berhubung manfaat pakej pemberhentian seadilnya kepada pekerja MAS.

“Kami harap kerajaan beri keadilan, jika tidak mahu (pekerja) beri pampasan setimpal kerana ada kalangan kakitangan ini ibu tunggal dan keluarga yang memiliki anak cacat. Kami bimbang jumlah bayaran yang diterima mereka tidak mencukupi,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2015 @ 11:15am
d