mutakhir

'Jihad' ke Syria

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Machang: Seorang graduan ijazah sarjana dari sebuah institusi pengajian tinggi awam berusia 28 tahun bersama suaminya yang berumur 29 tahun dipercayai warga tempatan dikatakan sudah berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas militan Islam (IS).

Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, ahli keluarganya yang berasal dari utara tanah air membuat laporan polis, kelmarin, bagi memaklumkan pasangan itu sudah tiada dalam negara sejak seminggu lalu.

Katanya, keluarganya memaklumkan pasangan berkenaan ke Syria untuk bersama pengganas IS selepas diperhatikan berlaku perubahan kepada mereka beberapa hari sebelum itu.

“Perubahan ketara pasangan itu apabila mereka lebih banyak bercakap berkenaan jihad dalam Islam.

“Selepas mendapati pasangan itu tiada dalam negara, keluarga mereka mula mengesyaki sesuatu dan segera membuat laporan polis.

“Siasatan giat dilakukan termasuk mengesan kedudukan suami isteri itu pada masa ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Keselamatan Ancaman Kumpulan Militan Islamic State di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, di sini, semalam.

Kira-kira 200 penuntut dan kakitangan UiTM menghadiri taklimat yang membincangkan mengenai ancaman IS.

Ayub Khan berkata, siasatan dijalankan di rumah pasangan itu di Kuala Lumpur menemui beberapa barang bukti termasuk buku catatan menunjukkan mereka terbabit dengan IS.

Katanya, sehingga semalam, seramai 108 individu ditahan kerana pembabitan dalam IS.

“Sehingga kini juga, terdapat 66 rakyat Malaysia bersama IS di Syria termasuk pelajar, pekerja profesional, anggota keselamatan dan kakitangan kerajaan.

“Mereka ini terbabit kerana pelbagai tarikan jihad termasuk berjihad menuju syahid selain masalah peribadi yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan seorang penuntut dari utara Afrika yang disyaki terbabit dengan penyebaran IS di Kuala Lumpur.

Katanya, penuntut berusia 20-an itu sudah setahun berada di negara ini dan berselindung di sebalik pas pelajar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: June 17, 2015 @ 11:40am
d