mutakhir

Tak menang tangan penuhi undangan

Kuala Lumpur: Ramadan membawa rahmat dan rezeki buat selebriti muda tanah air terutama mereka yang terbabit dalam program keagamaan.

Mereka bagaikan tidak menang tangan memenuhi lamaran aktiviti kerohanian daripada pelbagai pihak sejak sebelum Ramadan lagi.

Juara rancangan Imam Muda pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau Asyraf, 31, berkata, undangan dakwah yang diterima sepanjang Ramadan ini dikurangkan demi urusan peribadi dan perniagaan.

Beliau berkata, berbanding sebelumnya Ramadan tahun ini ditumpukan pada butik jubah lelaki dan wanita yang beroperasi di Bangi Sentral.

“Bukan kata tak ambil langsung (jemputan) cuma Ramadan kali ini saya mahu tumpukan masa pada bisnes.

“Kebetulan pula di sebelah butik saya ada kemudahan ruang solat jadi kebanyakan masa saya berada di sana. Pada sebelah malam saya mengalu-alukan pelanggan untuk sama berbuka, solat Tarawih dan kuliah di situ,” katanya.

Pelakon, penyanyi, penceramah motivasi dan aktivis keagamaan Nur Heliza Helmi atau Heliza, 29, berkata, jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti dan komitmen yang ditempah pelbagai organisasi sejak beberapa bulan lalu.

“Macam biasa saya terbabit dengan program keilmuan dan amal mengutip dana di merata tempat anjuran beberapa badan bukan kerajaan seperti Aman Palestin, Mapeim dan Muslim Care.

“Kalau diikutkan memang banyak aktiviti ceramah dan tazkirah juga yang saya terbabit termasuk bersama Usrah Fitrah sendiri yang saya sertai sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Katanya, dia yang mewakili beberapa produk sibuk dengan kempen dan kemunculan pada beberapa acara berkaitan.

Juara musim terbaru program Dai’e (TV3), Nik Ahmad Farhan Nik Muhammad atau Farhan, 24, berkata, dia menolak undangan sebagai imam solat Tarawih seperti tahun lalu kerana terikat dengan pelbagai jemputan ceramah dan kuliah Ramadan.

“Saya memenuhi undangan ceramah dan kuliah di sekitar Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada tahun ini.

“Malah, saya terbabit rakaman rancangan televisyen iaitu Sirah TV9, Al Kuliyyah, Positif dan Istimewa Raya di TV3,” katanya yang menerima tempahan pelbagai acara sejak dua bulan lalu.

Bagi juara Dai’e musim pertama, Nor Adibah Rozain atau Adibah, 23, dia terpaksa melupakan beberapa undangan ceramah kerana sibuk menghadapi peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) TESL di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

“Kebetulan pula pada Ramadan kali ini saya berada pada tahun akhir pengajian. Jadi saya kena berikan tumpuan pada peperiksaan akhir semester ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2015 @ 12:07pm
d