mutakhir

RON95 pantai timur tak jejas

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Petronas Dagangan Berhad (PDB) memberi jaminan bekalan petrol RON95 di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah mencukupi.

Jaminan berkenaan disampaikan syarikat itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin susulan kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang di timur laut Tanjung Sedili, Khamis lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, pada masa sama, PDB akan mengambil tindakan susulan segera bagi mengatasi isu bekalan minyak di pantai timur.

“Kehilangan kapal yang membawa kira-kira 6,000 metrik tan atau 60 juta liter petrol RON95 adalah penggunaan untuk satu minggu atau dua minggu akan datang di tiga negeri berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Tahunan KPDNKK Bersama Sektor Koperasi Bagi Tahun 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Lamien Sawiyo.

Selain itu, Hasan berkata, KPDNKK juga akan melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan petrol di pantai timur mencukupi.

Sementara itu, beliau meminta rakyat bersabar dan tidak resah berhubung bekalan minyak susulan kehilangan kapal tangki berkenaan.

“PDB sudah memberi jaminan, jadi masalah kehabisan stok petrol tidak akan berlaku,” katanya.

Berhubung majlis itu, Hasan berkata, antara perkara dibincangkan bersama sektor koperasi itu termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kos sara hidup, pembangunan modal insan bagi koperasi, pemberian lesen untuk barang kawalan, peranan koperasi serta isu percukaian koperasi.

Katanya, majlis berkenaan adalah kesinambungan pelaksanaan Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 yang berhasrat memperteguhkan prinsip kesejahteraan rakyat dengan nilai koperasi bagi saling membantu ekonomi secara kolektif untuk kesejahteraan bersama.

“Dasar berkenaan menyasarkan sektor koperasi menyumbang kepada perolehan negara sebanyak RM50 bilion menjelang 2020,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2015 @ 12:10pm
d