mutakhir

Penculik botak

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tindakan pantas pasangan suami isteri menyelamatkan anak gadis mereka daripada dicabul dan diculik dua lelaki di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang semalam, pasangan suami isteri berusia 40-an itu terdengar jeritan anak gadis mereka berusia 16 tahun selepas mangsa ditarik seorang lelaki berusia 40-an ke dalam lif.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa berkata, ibu bapa mangsa berlari mendapatkan anak mereka sebelum mendapati suspek melarikan diri.

Menurutnya, mereka berlari menuruni tangga tingkat lima flat itu untuk mengejar suspek.

“Mereka berjaya mencekup suspek itu dengan bantuan orang ramai tidak jauh dari lokasi kediaman itu.

“Suspek turut dipukul orang ramai selepas mengetahui perlakuan biadab lelaki itu terhadap remaja sekolah terbabit,” katanya.

Dia berkata, suspek berkepala botak itu dipukul orang ramai yang geram terhadap tindakan biadap suspek sebelum lelaki itu diserahkan kepada polis.

“Ketika ditahan, suspek merayu dilepaskan. Dia memberi alasan hanya mahu bergurau dengan mangsa,” kata saksi itu kepada Harian Metro.

Difahamkan sebelum kejadian, suspek mengekori mangsa yang mahu pulang ke rumahnya selepas tamat waktu persekolahan.

Suspek bertindak kasar dengan menarik kepala mangsa dan melakukan serangan seksual.

Suspek yang muncul menaiki motosikal bersama seorang lagi rakan kemudian cuba menarik mangsa ke dalam lif.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Shariff yang dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan penuh kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 5:10am
d