mutakhir

17,981 hidap tibi

Oleh Nazarali Saeril

Sepanjang tahun 2014, 17,981 kes penyakit tibi direkodkan membabitkan pekerja warga asing selepas mereka melalui saringan pemeriksaan perubatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, sejak 2010, angka itu menunjukkan penurunan dan peningkatan.

“Bagi tahun 2010, 9,255 kes tibi direkodkan membabitkan pekerja asing, ia menurun kepada 7,243 kes pada 2011, meningkat kepada 18,346 kes bagi 2012 dan menurun semula kepada 17,303 kes bagi 2013.

“Keberkesanan sistem pemeriksaan perubatan tidak akan berkesan jika kes berjangkit dalam kalangan pekerja warga asing tidak dirawat segera selain tidak dihantar pulang,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menurut Dr Hilmi, 359 pekerja warga asing yang berdaftar dengan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) turut mendapatkan rawatan di hospital akibat tibi sejak 2011 hingga April 2015.

Dr Hilmi berkata, polisi sedia ada adalah dengan menjalankan pemeriksaan perubatan di fasiliti kesihatan diiktiraf pihak berkuasa negara asal sebelum ke Malaysia.

“Pekerja terbabit dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan di Malaysia iaitu dalam tempoh sebulan ketibaan serta bagi tahun pertama juga kedua.

“Mereka yang gagal dalam pemeriksaan perubatan akan diisytihar tidak sesuai bekerja,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 5:12am
d