mutakhir

'Tolong jaga rahsia kerajaan'

Putrajaya: “Tolong jaga rahsia kerajaan,” itu pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Keempat Belas (MAPPA XIV), di sini, semalam.

Najib berkata, baru-baru ini, ada beberapa kebocoran maklumat rahsia kerajaan dilaporkan termasuk isu kenaikan harga tol.

Menurutnya, jika belum bersedia membuat pengumuman jangan bocorkan maklumat itu kerana dikhuatiri menjadi keputusan berlainan kelak.

“Saya minta penjawat awam menjaga rahsia kerana mana-mana kerajaan sekali pun mesti memelihara rahsia kerajaan.

“Ini belum apa-apa lagi tol kita (kerajaan) nak (hendak) dinaikkan. Sepatutnya kena ada kaedah tertentu memaklumkan perkara itu, justeru saya harap sangat penjawat awam tidak membocorkan rahsia kerajaan,” katanya.

Katanya, penjawat awam sebahagian kepemimpinan negara kerana setiap seorang daripadanya mengangkat sumpah dan mereka tidak boleh main-main dengan angkat sumpah kerana ia penting demi kebaikan negara.

Najib berkata, amalan integriti tunjang kejayaan sesebuah organisasi dan negara yang merangkumi nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana.

Menurutnya, jika benteng integriti semakin menipis di jiwa, ia mengundang bahaya kepada keselamatan dan kestabilan negara.

“Justeru, penjawat awam perlu mendakap integriti untuk memenangi keyakinan rakyat sekali gus memastikan survival perkhidmatan dan kestabilan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau turut mencadangkan kerajaan diwujudkan pendekatan baru supaya jabatan atau kementerian yang melakukan penjimatan peruntukan boleh menerima semula sebahagian daripada penjimatan itu.

Menurutnya, inisiatif itu sebahagian penghargaan kepada jabatan atau kementerian terbabit kerana cekap menjimatkan peruntukan supaya mereka boleh melaksanakan program lain atau memberi insentif kepada pegawai mereka.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 8:26am
d