mutakhir

Sangkut di bumbung surau

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Petaling Jaya: Kira-kira 20 jemaah yang sedang menunaikan solat Asar di Surau Ahmad Razali Flora Damansara di sini, terkejut apabila sebatang pokok tumbang menimpa bumbung surau itu.

Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin, batang pokok sebesar satu pemeluk itu tersangkut pada bumbung surau.

Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila akar pokok reput hingga menyebabkan pokok berusia lebih 10 tahun itu tumbang mendadak.

Imam surau berkenaan, M Rizal Rashid berkata, ketika kejadian mereka sedang duduk pada tahiyyat akhir sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Selepas selesai solat, kami dapati batang pokok itu menghempap bumbung zink dan kubah surau.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana semua jemaah selamat selain surau ini tidak mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika ditemui wartawan.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menghubungi Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang menyelia kawasan pangsapuri berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Pada petang semalam (kelmarin), pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hadir untuk melakukan kerja pembersihan serta memotong dahan pokok.

“Kami juga meminta pihak JMB mempertimbangkan langkah menebang beberapa batang pokok terletak berhampiran surau ini yang berisiko untuk tumbang,” katanya.

Beliau berkata, kos membaik pulih kerosakan surau berkenaan dianggarkan berjumlah RM4,000. Kerja pembaikan akan dilakukan segera berikutan surau ini digunakan untuk solat tarawih sepanjang Ramadan.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 8:32am
d