mutakhir

Galak melancong 'dekat je'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan seramai 60 juta rakyat akan melancong dan bermalam di dalam negara pada tahun ini.

Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong berkata, sejajar itu juga, kementerian mengunjurkan jumlah pendapatan RM39.3 bilion akan diperoleh daripada perbelanjaan pelancong terbabit.

Beliau berkata, kementerian dan Tourism Malaysia berusaha menggalakkan rakyat yang melancong dan bermalam di sesuatu destinasi, sekali gus dapat menjana ekonomi daripada perbelanjaan yang dibuat.

“Secara purata pelancong domestik pergi melancong dan bermalam selama dua hari setengah. Masih ramai yang pergi melancong dan pulang pada hari sama, jadi ini kita mahu kurangkan dengan menganjurkan kempen Cuti-Cuti Malaysia ‘dekat je nih’.

“Bagi pelancong asing pula terutama dari Eropah dan Timur Tengah, purata mereka bermalam selama tujuh hari di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen pelancongan domestik terbaru ‘Cuti-Cuti 1 Malaysia Dekat Je.’

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Negara pada 2013, seramai 54.4 juta rakyat Malaysia melancong dalam negara dan menjana pendapatan RM35.6 bilion.

“Secara perbandingan, ia meningkat 10.1 peratus daripada segi jumlah pelancong domestik dan 14.5 peratus (pendapatan) berbanding 2012.

“Bagi pelancong asing pula, kita menyasarkan seramai 29.4 juta orang pada tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik badan pelancongan itu, pelancongan domestik penting kerana ia menyumbang 50 peratus daripada jumlah pendapatan industri pelancongan negara.

“Sektor pelancongan tempatan ini amat penting dan perlu lebih digalakkan supaya kita boleh menjana ekonomi negara berbanding melancong ke luar negara yang mahal.

“Dengan wang yang sama, mereka boleh melancong ke banyak tempat menarik di negara ini dan melakukan banyak perkara.

“Jadi, saya yakin kempen ‘dekat je’ ini dapat merangsang perkembangan industri pelancongan tempatan kerana, masih banyak tempat menarik yang tidak diketahui dalam negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, insiden semasa seperti penculikan di Sabah hanya memberi kesan sementara dan tidak menjejaskan industri pelancongan.

Menurutnya, dalam jangka panjang jika dinilai dari aspek positif pula, sesuatu bencana termasuk gempa bumi di Gunung Kinabalu secara tidak langsung memperkenalkan ia sebagai destinasi pelancongan di mata dunia.

“Ini bukan bermaksud kita mahu berlaku bencana, sebaliknya jika dilihat dari sudut lain, impak positif jangka panjang dan memudahkan usaha promosi kerana masyarakat dunia tahu dan ingin datang melihat ke lokasi berkenaan,” katanya.

Wee berkata, apa yang penting cara menguruskan sesuatu bencana dan kerajaan boleh mengambil pengalaman Thailand dalam memulihkan semula industri pelancongan di Phuket dalam tempoh setahun yang terjejas teruk akibat tsunami.

Beliau yang baru dilantik menggantikan Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkuat kuasa semalam berkata, begitupun, aspek keselamatan pelancong amat dititikberatkan.

Justeru, badan pelancongan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain dalam menentukan perkara itu.

“Jika tahap keselamatan lemah, kempen pelancongan yang kita buat tidak akan berjaya. Ini termasuk juga usaha mengurangi kes ragut, curi dan sebagainya.

“Bila pelancong datang ke negara ini dan suasananya aman damai, secara tidak langsung mereka akan menjadi duta kita dengan menceritakan kepada rakan lain apabila balik ke negara asal,” katanya menyifatkan kempen dari mulut ke mulut itu lebih efektif.

Penggunaan bahasa ‘dekat je’ dalam kempen ini diharap mengingatkan masyarakat supaya tidak perlu pergi jauh untuk menikmati percutian hebat kerana negara ini kaya dengan tempat eksotik, budaya dan makanan menarik.

Sempena kempen itu juga pelancong digalakkan merakam aksi ‘wefie’ dan ‘selfie’ popular dan memuat naik ke media sosial untuk mempromosi percutian mereka.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 8:54am
d