mutakhir

Hiba setiap Ramadan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: “Setiap kali tibanya Ramadan, ingatan terhadap suami semakin kuat kerana kami sekeluarga biasanya menunaikan solat Tarawih bersama-sama.

“Kenangan itu sukar dilupakan dan saya akui sehingga hari ini tiada sedetik pun yang berlalu tanpa kami sekeluarga mengingatinya,” kata Nur Laila Ngah, 41.

Dia adalah isteri Wan Swaid Wan Ismail, 42, pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan krunya pada 8 Mac tahun lalu.

Nur Laila berkata, meskipun sudah lebih setahun tiga bulan kejadian itu berlaku namun kenangan bersama suami masih jelas dalam ingatan.

Katanya, jika tidak bertugas, suaminya tidak pernah ketinggalan untuk menunaikan solat Tarawih bersama mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, pada Ramadan 2013 lalu hanya dua hari suami tidak dapat menunaikan solat Tarawih kerana terpaksa ke London.

“Begitu juga dengan puasa, dia rajin puasa sunat kerana menemankan saya menggantikan puasa jika tidak bertugas.

“Memang diakui sukar menjalani ibadah Ramadan tanpa kehadirannya, namun saya perlu tabahkan diri demi anak-anak tersayang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Nur Laila, sehingga kini, dia juga tidak dapat memasak tomyam untuk tiga anaknya kerana hidangan itu adalah juadah terakhir yang dimasak untuk suami sebelum penerbangannya ke Beijing.

Katanya, jika anak-anak teringin untuk menikmati hidangan itu dia akan membelinya dari restoran luar.

“Biarpun sudah lebih setahun berlalu, tetapi sehingga hari ini saya masih tidak dapat memasak tom yam kerana hidangan itu mengingatkan kepada suami.

“Bukan mudah menerima kehilangan berkenaan, namun saya sekeluarga harus reda dan perlu meneruskan kehidupan,” katanya.

Nur Laila berkata, jika secara tiba-tiba mengingati suaminya, dia akan segera menunaikan solat sunat dan membaca al-Quran.

Katanya, hanya dengan cara itu dapat menenangkan dirinya kerana dia yakin Allah SWT sentiasa mendengar rintihan umatnya.

“Saya juga sentiasa berdoa supaya diberi kekuatan untuk menjadi bapa dan ibu terbaik kepada anak-anak kami, Wan Amirul Haziq, 13, Wan Aemer Hafiz, 11, dan Wan Afrina Sofea, 9, .

“Mereka bertiga sudah tidak mempunyai bapa dan hanya pada sayalah tempat untuk bergantung,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2015 @ 9:04am
d