mutakhir

Imbau sengsara tidur bersujud

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Sepang: “Dalam tempoh tiga bulan kami hanya diberi makan nasi putih berlaukkan cili kering dua kali sehari, selain tidur bersujud kerana ruang bot sangat sempit,” kata warga Bangladesh, Muhamad Shamsul Alam, 38.

Dia antara 61 mangsa pemerdagangan manusia warga Bangladesh yang dihantar pulang ke negara asal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, menerusi penerbangan komersial terus ke Dhaka.

“Ini kali kedua saya masuk ke Malaysia menggunakan sindiket. Untuk ke sini saya menjual tanah di kampung serta menggunakan wang simpanan untuk menampung kos perjalanan berjumlah RM11,000 kepada sindiket.

“Namun, saya serik kerana kedatangan saya ke Malaysia kali ini tidak menguntungkan, malah ditipu sindiket pemerdagangan manusia mengatakan perjalanan merentasi Teluk Bengal dan Laut Andaman hanya mengambil masa 15 hari, sebaliknya kami berada di atas bot selama tiga bulan,” katanya ditemui sebelum dihantar pulang, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Md Shahidul Islam.

Shamsul yang fasih berbahasa Melayu kerana pernah bekerja selama lima tahun di Malaysia berkata, bot dinaiki memuatkan 800 orang menjadikan keadaan sangat sempit.

“Kami tidak boleh berbaring dan terpaksa tidur bersujud. Malah makanan diberikan juga tidak cukup, hanya diberi dua kali nasi putih berserta sedikit cili kering setiap hari selama tiga bulan,”katanya.

Katanya, dia pernah bekerja di kilang dan tapak pembinaan sekitar Selangor selama lima tahun sebelum dihantar pulang ke negara asal pada 2010, selepas ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Saya memilih kembali ke Malaysia buat kali kedua kerana peluang pekerjaan di Bangladesh tidak banyak dan gajinya juga rendah iaitu sekitar 200 taka (RM9.70) sehari.

“Jika bekerja di Malaysia, saya berpeluang mendapat RM60 sehari jika melakukan kerja lebih masa dan pendapatan itu saya anggap sangat banyak berbanding bekerja di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, Md Shahidul berkata, kerajaan Bangladesh akan menghantar semua 716 rakyatnya yang ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik secara berperingkat sebelum menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, penghantaran balik rakyatnya bermula semalam membabitkan 61 individu dan semua kos penghantaran pulang ditanggung kerajaan Bangladesh manakala Jabatan Imigresen bertanggungjawab menghantar mereka dari Depot Imigresen Belantik ke KLIA menggunakan bas.

Disiarkan pada: June 19, 2015 @ 9:44am
d