mutakhir

749 masih berlindung di 3 pusat penempatan

Ranau: Seramai 749 individu dari 177 keluarga mangsa banjir lumpur dan tanah runtuh masih ditempatkan di tiga pusat penempatan sementara di sekitar daerah ini.

Sehingga jam 4 petang semalam, seramai 387 daripadanya ditempatkan di Dewan Masyarakat Ranau, 218 penduduk lagi di pusat pemindahan sementara Dewan Kundasang manakala seramai 144 penduduk berada di pusat pemindahan sementara Marakau.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang meluangkan masa meninjau di Dewan Masyarakat Ranau berkata, semua mangsa banjir lumpur berdepan masalah bekalan air bersih selepas loji air di kawasan berhampiran rosak dan tidak berfungsi.

“Justeru, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk membekalkan air bersih dari luar menggunakan lori tangki air dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejurus mereka dipindahkan ke pusat ini sejak lima hari lalu.

“Dalam masa sama, saya terharu apabila ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu persendirian bermurah hati menghantar air mineral bagi keperluan mangsa banjir di daerah ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, Musa menghadiri sesi taklimat banjir lumpur dan tanah runtuh bersama Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin bagi mengetahui status terkini bencana alam yang berlaku di Ranau.

“Saya difahamkan, kerja pembaikan loji air yang terjejas sedang giat dijalankan dan kini mencapai tahap 60 peratus.

“Jika keadaan mengizinkan, kerja pembaikan loji akan dilakukan dalam masa terdekat, seterusnya membolehkan proses bekalan air bersih dilakukan di kawasan terjejas,” katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri bercadang akan membuka dua lagi pusat pembekalan air bersih di pekan Ranau dan Kampung Sinar Ranau untuk kegunaan penduduk setempat.

Disiarkan pada: June 19, 2015 @ 10:00am
d