mutakhir

Tak perlu minta bantuan DAP

Gua Musang: DAP tidak perlu campur tangan bagi pembinaan masjid baru di Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, di sini, kerana kerajaan masih mampu untuk membaik pulih masjid sedia ada yang terjejas banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abd Ghani berkata, penduduk Islam yang menggunakan masjid itu belum terdesak menerima peruntukan daripada DAP.

“Selama ini, belum pernah parti pembangkang itu menghulurkan sumbangan bagi tujuan berkenaan dan masyarakat Islam dapat berfikir tujuan parti itu.

“Penduduk juga tidak pernah menyatakan persetujuan menerima peruntukan daripada DAP,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tawaran DAP menyalurkan peruntukan bagi pembinaan masjid baru di Kampung Pasir Tumbuh pada majlis penyampaian bantuan rumah di kampung itu, seminggu lalu.

Ia turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek dana Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan sebanyak RM50,000 kepada Timbalan Presiden Cakna UT, Mohd Bashir Mohd Zain bagi membaik pulih masjid berkenaan yang terjejas banjir di sini, kelmarin.

Cakna UT sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berkampung di kampung berkenaan bersedia menjalankan kerja membaik pulih masjid itu.

Mat Yusoff berkata, UMNO Kelantan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan sentiasa cakna terhadap masalah rakyat di Kelantan termasuk membaik pulih masjid.

“Kita sudah ada dana khususnya bagi membaik pulih masjid yang terjejas banjir hanya menunggu masa untuk diagihkan sebagaimana yang kita lakukan hari ini (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Pasir Tumbuh, Abdul Mutalib Seman berkata, penduduk kampung itu tidak pernah menyuarakan persetujuan menerima peruntukan daripada DAP.

“Hanya pemimpin DAP yang datang ketika itu menawarkan peruntukan jika penduduk setuju menerimanya bagi pembinaan masjid baru kerana masjid lama terjejas banjir.

“Kita juga tidak pernah membincangkan perkara itu dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berhubung perkara itu kerana kita yakin kerajaan ada peruntukan bagi membaik pulih masjid berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2015 @ 9:15am
d