mutakhir

Jurutera Russia dijel sehari

Melaka: Seorang jurutera warga Russia dijatuhi penjara sehari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Tertuduh, Alexander Cheryvyakov, 42, yang tinggal di Damansara, Kuala Lumpur, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan ke atas dirinya.

Terdahulu, pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Asri Abdul Rahman Sidik.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta dalam keadaan mabuk jam 3.30 petang, di Jalan Chang Kok Cheng, 20 Mei lalu.

Hasil pemeriksaan, darah tertuduh dikesan mengandungi alkohol 285 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah, melebihi kadar sepatutnya 80 mg per 10 ml darah.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 45(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM6,000 atau boleh dipenjara tidak lebih dari 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk dan tidak mengemukakan rayuan.

Selepas mendengar hujah, Mohd Asri kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 selain menasihati tertuduh supaya menyesali perbuatannya.

Disiarkan pada: June 20, 2015 @ 9:18am
d