mutakhir

Noda dua beradik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya

Kuala Pilah: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tujuh pertuduhan merogol dua beradik perempuan, sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Hwa Yoke Hin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut enam pertuduhan, dia dituduh merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun enam kali antara jam 8 pagi dan 3 petang pada Disember 2014 hingga Mei lalu.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Taman Regent, Gemencheh, Tampin, di sini.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama iaitu merogol seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang juga adik kepada mangsa pertama di lokasi sama jam 4.30 petang, November 2014 lalu.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hwa merayu kepada mahkamah membenarkan diikat jamin dengan jumlah paling rendah.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 untuk semua pertuduhan itu dan menetapkan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa hingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada 12 Jun lalu melaporkan penderitaan dua beradik yang juga remaja bawah umur menjadi pemuas nafsu serakah teman lelaki ibunya, di sini.

Disiarkan pada: June 20, 2015 @ 9:21am
d