mutakhir

Ghairah lubuk emas

Kuala Lumpur: Berniaga sebulan, untung setahun. Faktor itu mendorong penjaja dan peniaga bazar Ramadan di beberapa lokasi ‘panas’ di bandar utama seluruh negara sanggup membayar kadar sewa tapak niaga sehingga puluhan ribu ringgit sebulan semata-mata mahu memastikan memperoleh lubuk emas itu.

Bagi golongan terbabit, biarpun perlu membayar harga terlalu tinggi hingga dianggap tidak masuk akal, namun disebabkan jangkaan pulangan cukup lumayan, mereka tidak peduli, sebaliknya bersedia menanggung risiko gulung tikar atau tidak pulang modal.

Bagaimanapun, bagi mereka, walaupun mengeluarkan modal besar untuk membayar sewa tapak sehingga RM12,000 untuk berniaga selama sebulan, namun pulangan diperoleh cukup berbaloi apabila mampu memperoleh sehingga RM150,000 sepanjang tempoh itu.

Bagi peniaga bazar Ramadan di pusat beli-belah SACC, Shah Alam, Nazira Ibrahim, 29, ini tahun kelima dia membuka gerai menjual pakaian khususnya batik biarpun membayar harga sewa tinggi.

Menurutnya, antara kriteria utama perlu diberi penekanan ialah lokasi perniagaan yang strategik kerana pemilihan lokasi niaga yang tepat mampu memberi pulangan berganda kepada peniaga dan begitulah sebaliknya.

Katanya, pada tahun lalu, hasil jualan diperolehnya dengan menjual batik mencecah RM150,000 dengan jualan harian tertinggi pernah diperolehnya RM10,000.

Seorang lagi peniaga di bazar Ramadan di SACC, Rara Revina Ilham, 25, berkata, memang lumrah apabila kadar sewa tapak perniagaan bazar Ramadan di kawasan tumpuan ramai meningkat berkali ganda berbanding bulan lain sepanjang tahun.

“Disebabkan sambutan menggalakkan ini menyebabkan peniaga tidak kisah menyewa tapak dengan kadar tinggi kerana yakin pulangannya berlipat ganda untuk sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam keghairahan merebut tapak niaga bazar Ramadan yang dianggap lubuk emas hingga sanggup membayar puluhan ribu ringgit, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Datuk Rosli Sulaiman mengingatkan golongan itu supaya tidak terlalu yakin kerana bimbang jika jualan tidak seperti diharapkan.

Berikutan itu, katanya, ini kali pertama pihaknya membuat sistem tender terbuka sewaan tapak bazar Ramadan khususnya di ibu negara memandangkan ia sistem telus dengan semua peniaga boleh membida dan sesiapa yang menawarkan harga tertinggi akan mendapat tapak berkenaan.

“Namun, jika kita melihat satu sudut lagi, ia umpama ‘keghairahan’ golongan penjaja merebut tapak itu sedangkan mereka tidak mengetahui kadar jualan bakal diperoleh dalam bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang jika peniaga yang menyewa tapak dengan kadar mencecah RM40,000, namun tidak mampu mencapai sasaran jualan.

“Saya tidak nafikan memang ada sesetengah peniaga mampu mencapai jualan ratusan ribu ringgit berdasarkan sambutan Ramadan tahun lalu, tetapi mereka harus melihat keadaan ekonomi semasa.

“Kadar sewaan puluhan ribu ringgit untuk tapak perniagaan 200 kaki persegi manakala belasan ribu bagi tapak seluas 64 kaki persegi. Sukar untuk saya menggambarkan situasi ini.

“Kita lihat sendiri jika mereka menyewa kedai di beberapa bangunan perniagaan di Jalan Masjid India, ia bernilai RM35,000 lengkap dengan sistem penghawa dingin dan kedai tetap sedangkan ini (bazar Ramadan) hanya tapak perniagaan mudah alih,” katanya.

Bazar Ramadan Jalan Masjid India di tengah-tengah ibu negara menawarkan lebih 40 lot tapak perniagaan dengan kebanyakannya mempunyai kadar sewa antara RM10,000 dan RM40,000.

Selain itu, bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah, Tesco dan Jaya Jusco Peringgit di Melaka dikatakan mengenakan kadar sewa hampir sama dengan Jalan Masjid India iaitu RM11,000 dan RM30,000.

Seorang peniaga yang mahu dikenali Zetty, 27, berkata, harga tapak bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah antara yang mengenakan kadar sewa paling tinggi dengan penganjur menawarkan lot seluas 400 kaki persegi dengan sewa RM11,000 manakala bagi lot bersaiz 324 kaki persegi tetapi terletak di lokasi lebih strategik dikenakan sewa sebanyak RM11,200.

Disiarkan pada: June 20, 2015 @ 9:33am
d