mutakhir

Perairan masih selamat

Kuala Lumpur: Perairan Selat Melaka dan rantau Asia Tenggara masih disifatkan sebagai selamat biarpun selepas insiden rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony yang menimbulkan keresahan terhadap kemungkinan kawasan perairan berkenaan akan menjadi ‘Teluk Aden’ kedua.

Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan menegaskan bahawa situasi rompakan Teluk Aden, Somalia sangat berbeza dengan senario yang berlaku terhadap MT Orkim Harmony.

“Kita melihat lapan perompak ini sebagai ‘amatur’ dan hanya menggunakan senjata ringan untuk melakukan rompakan. Situasi ini berbeza dengan lanun di Teluk Aden yang menggunakan senjata berat dan lebih berani.

“Saya tidak melihat kawasan perairan Selat Melaka dan rantau Asia Tenggara ini akan menjadi lokasi ‘rompakan’ seperti yang berlaku di Teluk Aden. Ini hanyalah beberapa kes kecil yang direkodkan,” katanya kepada Metro Ahad ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azmi berkata, biarpun motif rompakan sama dengan insiden yang pernah berlaku di Teluk Aden iaitu memanfaatkan hasil kapal bagi tujuan kewangan, namun lapan perompak itu tidak bertindak menculik anak kapal seperti yang dilakukan lanun di sekitar perairan Somalia.

“Motif mereka sama iaitu melakukan rompakan untuk kewangan tetapi modus operandi yang dilaksanakan jauh berbeza. Perompak di Teluk Aden sangat berbahaya kerana mereka melakukan kegiatan itu sehingga menggadai nyawa.

“Situasi berbeza bagi perompak MT Orkim Harmony yang melarikan diri tanpa membawa tebusan sebagai jaminan seperti yang pernah dilakukan di Teluk Aden,” katanya.

Katanya, perkongsian maklumat risikan serta kerjasama ketenteraan dengan beberapa negara antaranya Indonesia, Singapura dan Vietnam menahan lapan perompak terbabit.

Disiarkan pada: June 21, 2015 @ 5:27am
d