mutakhir

Tiada dendam

Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak akan membalas dengan menurunkan papan tanda DAP di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur walaupun didesak segelintir pihak.

Tengku Adnan didesak untuk melakukan perkara sama selepas papan tanda UMNO di ibu pejabat parti itu di Pulau Pinang diturunkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kelmarin.

Menurut Tengku Adnan, penurunan papan tanda UMNO itu tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan berkenaan.

“Sebenarnya, kita nak kepastian adakah UMNO sendiri sudah minta kebenaran untuk pasang tanda. Seperti di Wilayah Persekutuan, ada juga desakan yang mendesak saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk membalasnya namun saya tanya kenapa perlu berbuat demikian.

“Bagaimanapun, saya sudah arahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk lihat papan tanda, bukan hanya DAP tetapi semua, kalau belum lagi pohon untuk pasang, kita bagi dua minggu untuk mohon dan selepas dua minggu, jika tidak pohon barulah kita ambil tindakan,” katanya, semalam.

Tengku Adnan ditemui pada Program Penyerahan Kurma, Air Zamzam dan Kain Baju Melayu ke Masjid Seluruh di Masjid Negara di sini, anjuran Biro Kebajikan UMNO yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Tengku Adnan, pihak berkaitan akan diminta untuk menurunkan papan tanda berkenaan dan DBKL tidak akan melakukannya.

“Mereka akan melakukannya dan bukan kita. Mengapa kita pula yang perlu mengeluarkan kos untuk melakukannya,” katanya.

Menurut Tengku Adnan, beliau tidak tahu apa sebenarnya berlaku berkaitan isu papan tanda UMNO di Pulau Pinang dan pastinya membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Disiarkan pada: June 22, 2015 @ 7:53am
d