mutakhir

Penyamun pulangkan dompet kosong

Alor Setar: “Saya merayu kepada lelaki itu supaya mengembalikan wang saya tetapi dia tidak peduli sebaliknya memulangkan dompet kosong,” kata Morad Ibrahim, 80, yang menjadi mangsa samun di Jalan Tunku Ibrahim, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa sedang mengayuh basikal sebelum terserempak lelaki berusia lingkungan 40-an yang terus menahannya.

“Lelaki itu juga mengajak berbual di lorong sunyi sedangkan saya tidak mengenalinya.

“Dia tiba-tiba meminta wang namun saya memberitahu hanya memiliki RM50 tetapi dia tidak mempercayainya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Morad berkata, lelaki itu kemudian merampas dompetnya dan mengambil wang tunai sebanyak RM150.

“Lelaki itu mendakwa dia adalah kakitangan Pejabat Agama Daerah Kota Setar namun saya tidak mempercayainya sebelum dia beredar tanpa mencederakan saya.

“Saya terkilan kerana duit itu untuk membeli juadah berbuka puasa dan barang keperluan harian,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2015 @ 7:54am
d