mutakhir

Sinar buat Nur Qaseh

Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang menderita sakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai untuk membolehkannya menjalani pembedahan dengan segera.

Tambah pilu, Nur Qaseh Ramadhan Mohd Fauzi yang turut berstatus orang kurang upaya (OKU) turut disahkan mengalami dua kompilasi jantung iaitu jantung berlubang serta injap rosak.

Menurut ibunya, Seri Marina Harun, 31, penyakit kronik anaknya itu mula dikesan selepas dua hari dilahirkan.

Katanya, sejak itu, Nur Qaseh sering keletihan dan tidak mampu bergerak secara aktif sebagaimana kanak-kanak normal lain seusianya.

“Walaupun masalah itu tidak kerap berlaku, kadangkala dia sering lemah dan tidak boleh berdiri lama. Malah, saya perlu membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebanyak tiga bulan sekali untuk pemeriksaan jantung.

“Selain itu, rawatan susulan sebanyak empat kali sebulan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) turut diperlukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Taman Puteri Indah, Parit Besar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, menurutnya, doktor kini menyarankannya supaya mempercepatkan proses pembedahan bagi mengelak penyakit berkenaan menjadi semakin kronik

“Namun, kos rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) agak tinggi dan walaupun pihak Baitulmal negeri menawarkan bantuan, kami terpaksa mendahulukan duit sendiri yang mana sebenarnya, kami tidak mampu,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan suaminya, Mohd Fauzi Jalal, 40, yang tidak mempunyai pendapatan tinggi menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan.

“Kami memerlukan bantuan RM5,000 hingga RM7,000 lagi bagi membolehkan proses pembedahan itu dipercepatkan oleh pihak IJN.

“Walaupun berat untuk saya melepaskan Nur Qaseh menjalani pembedahan, atas sebab kesihatan dan masa depan dia, saya reda,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi terus Mohd Fauzi menerusi nombor telefon 011-23316775.

Disiarkan pada: June 22, 2015 @ 8:11am
d