mutakhir

Zakat fitrah ikut gred beras

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kadar zakat fitrah biasanya ditetapkan pihak berkuasa agama menjelang Ramadan dan ia kadangkala berbeza mengikut negeri kerana kaedah penentuan dibuat menerusi gred beras untuk sesuatu masa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Jun 2003 memutuskan harga zakat fitrah bagi negeri di Semenanjung berdasarkan harga setempat ditetapkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Berdasarkan muzakarah itu, kadar zakat fitrah akan ditentukan mengikut beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.6 kilogram (kg).

Manakala harga zakat fitrah bagi Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi Sabah dan Thai White Rice bagi Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.7kg.

Amalan pelaksanaan zakat fitrah di negara ini ditunaikan dengan nilai mata wang menggantikan satu gantang beras bagi setiap orang Islam yang ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Keadaan ini memperlihatkan wujudnya perbezaan kadarnya di negeri disebabkan penetapan asas timbangan bagi satu gantang beras dan jenis beras yang ditentukan.

Selain itu, harga beras tempatan di Semenanjung dikawal dan diselaraskan kerajaan dan BERNAS, tetapi tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

Penggunaan sukatan gantang Baghdad merujuk kepada gantang yang digunakan secara meluas pada zaman Rasulullah SAW selaras dengan hadis Baginda.

Bahan makanan yang diambil kira bagi menentukan zakat ialah beras atas alasan ia makanan asasi rakyat negara ini.

Disiarkan pada: June 22, 2015 @ 8:29am
d