mutakhir

Pekerja farmasi cemas diacu pisau

Kajang: Dua pekerja sebuah kedai farmasi berdepan detik cemas apabila diacukan pisau dalam kejadian di Seksyen 3 Bangi, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek yang memasuki kedai terbabit tiba-tiba mengacukan pisau ke perut mangsa wanita berusia 25 tahun berkenaan.

Mangsa yang terkejut selepas melihat pisau terbabit terus mendiamkan diri mengikuti arahan suspek untuk masuk ke bilik pejabat premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek mengarahkan mangsa supaya membuka peti besi yang disimpan di dalam pejabat farmasi terbabit.

Menurutnya, sebaik membuka peti besi itu, suspek terus mengambil wang tunai yang dianggarkan RM11,000 hasil jualan selama seminggu.

“Suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan kedua-dua pekerja farmasi terbabit tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai berusia 30-an dan masuk ke kedai berkenaan dengan memakai topi, jaket dan cermin mata hitam.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun sama.

Disiarkan pada: June 23, 2015 @ 7:57am
d