mutakhir

Perkasa kerjasama

Oleh Aizat Sharif

Satun (Thailand): Kerjasama segenap lapisan masyarakat di selatan Thailand dan Malaysia perlu diperkasakan lagi bagi menangani isu keselamatan yang membabitkan kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembanterasan kegiatan pemerdagangan manusia yang berlaku di sekitar sempadan Malaysia-Thailand perlu dipergiatkan dengan lebih aktif menerusi kerjasama dijalin antara kedua-dua pihak.

“Ini turut membabitkan kerjasama dari segi perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak” titahnya pada Majlis Berbuka Puasa ‘Ihya Ramadan’ di Masjid Ban Kuan, Kampung Guar di sini, sempena lawatan kerja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), kelmarin.

Turut berangkat isteri baginda Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akasha Khalil dan kedatangan baginda berdua disambut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Satun Harun Omarji dan imam masjid, Ali Natipan.

Hadir sama Gabenor Satun Dejrath Simsiri; Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail; bekas Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, penyaluran maklumat terkini berkaitan kegiatan jenayah rentas sempadan bukan saja terhad kepada pemerdagangan manusia, malah meliputi kegiatan jenayah lain seperti curi kenderaan, penyeludupan senjata, dadah, daun ketum, mercun serta barangan kegunaan harian.

“Masalah ini semakin menjadi serius dan langkah berkesan perlu diperhebatkan dan diperkemaskan supaya tidak menular menjadi masalah kepada kedua-dua negara dan pasukan keselamatan kedua-dua negara wajar mengadakan operasi bersepadu secara kolektif dengan lebih kerap,” titahnya.

Menurutnya, selain pembanterasan jenayah rentas sempadan, kerjasama kedua-dua negara juga dapat disemarakkan melalui aktiviti keagamaan, pendidikan kebudayaan, sukan dan budaya kunjung-mengunjung.

Lawatan kerja itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Satun dan rombongan MAIPs dibawa ke beberapa lokasi masjid di sekitar kawasan Satun seperti Pulau Panjang, Kampung Puyu, Tanjung Gabus dan Sekolah Rendah Bankohyao, Pulau Panjang.

Dalam lawatan itu, baginda menyampaikan sumbangan seperti buku agama, buku latihan, jam dinding digital, kurma, 40 kampit simen untuk kegunaan masjid dan baginda berkenan menanam pokok harumanis sebagai simbolik lawatan di pekarangan Masjid Pulau Panjang, Satun.

Malah, pada majlis itu, baginda berdua berkenan mengacau ‘Bubur Lambuk Perlis Harian Metro’ disumbangkan Harian Metro kepada Masjid Ban Kuan, Kampung Guar dengan proses menyiapkan bubur itu diselia sukarelawan pasangan suami isteri Shamiza Mohd Nor dan suami Ashidan Mat Isa dari Kampung Gial, Perlis.

Disiarkan pada: June 23, 2015 @ 9:00am
d