mutakhir

Sengsara kaki tersepit 20 minit

Melaka: Seorang lelaki menahan kesakitan hampir 20 minit selepas kakinya tersepit dalam kereta akibat kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Proton Saga yang dipandu mangsa berusia lingkungan 30 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke pusat bandar sebelum hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Asraf Abdullah bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, bomba mendapati kaki mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mengeluarkannya.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Disiarkan pada: June 23, 2015 @ 9:38am
d