mutakhir

Tetap jalan operasi

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Tanggapan bahawa Jabatan Imigresen tidak menjalankan operasi sepanjang Ramadan ternyata meleset apabila beberapa lokasi panas yang menjadi tumpuan warga asing di negeri ini terus digempur.

Terbaru, jabatan itu dengan kekuatan 14 pegawai dan anggota menyerbu premis perniagaan di sepanjang Jalan Sungai Buloh, Jalan Tasek Biru, Kuang dan Kampung Setia, Kuang, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari, Jabatan Imigresen menahan 28 warga asing dari pelbagai negara berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun.

Ketua Operasinya, Timbalan Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Imigresen Selangor, Ramli Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Bertindak daripada laporan berkenaan, kami melakukan risikan seminggu lalu sebelum Ops Kutip dijalankan dan memeriksa 40 warga asing di kedai runcit, kedai pokok bunga dan permaidani di tiga lokasi berkenaan.

“Kami dapati kebanyakan peniaga dan pekerja di kedai runcit adalah warga asing. Selepas dokumentasi dijalankan, kami menahan 28 warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah dari Indonesia membabitkan 10 lelaki dan empat wanita, 12 warga Bangladesh dan masing-masing seorang dari Pakistan dan Filipina,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, mereka dibawa ke depoh tahanan sementara Jabatan Imigresen di Kompleks PKNS, di Shah Alam, sebelum tindakan lanjut dijalankan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan imigresen mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tempoh pas tama,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2015 @ 7:59am
d