mutakhir

Tuduhan ulangan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur : 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semalam menegaskan ia hanya membeli aset apabila ia yakin aset itu mempunyai nilai jangka panjang.

“Untuk mengatakan bahawa pembelian kami didorong pertimbangan politik adalah sama sekali tidak betul,” kata syarikat itu yang merujuk kepada artikel Wall Street Journal baru-baru ini yang menyatakan 1MDB terlebih bayar dalam pembelian aset tenaganya.

“Hakikatnya dakwaan ini adalah pengulangan tuduhan lama yang dilemparkan pembangkang termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dakwaan ini tidak pernah dibuktikan dan tidak pernah disokong bukti, sama seperti Dr Mahathir yang tidak pernah mengeluarkan bukti bagi tuduhannya bahawa RM42 bilion hilang daripada 1MDB, kerana realitinya ialah RM42 bilion ini adalah hutang yang disokong aset bernilai RM51 bilion,” kata 1MDB dalam kenyataan di sini, semalam.

1MDB berkata, ia mengambil pandangan nilai jangka panjang apabila melakukan urus niaga bukan saja bagi syarikat itu tetapi juga negara, sebagai menepati pemilikan 100 peratusnya oleh kerajaan Malaysia.

“Harga pembelian dibayar berdasarkan pandangan jangka panjang ini, serta nasihat yang diterima daripada penasihat penilaian bebas, dan keadaan pasaran pada masa itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2015 @ 9:03am
d