mutakhir

4 pendekatan negara bebas rokok

Putrajaya: Empat pendekatan diambil Kementerian Kesihatan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rokok pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pendekatan itu adalah mengurangkan kawasan merokok, mengurangkan tempat pembelian rokok, menaikkan duti eksais harga rokok di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu akan dibentangkan dalam mesyuarat yang akan dihadirinya dalam masa terdekat.

“Langkah pertama diambil kementerian ketika ini adalah mempertingkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar Kompleks E yang bermula sejak 1 Mei lalu dan sehingga kini, 13 notis kesalahan manakala tujuh amaran sudah diberikan.

“KKM merancang untuk menurunkan kuasa bagi mengeluarkan notis kesalahan kepada polis bantuan di peringkat KKM selepas latihan penguatkuasaan secara terperinci dijalankan,” katanya pada sidang media di penyampaian sijil penghargaan bagi inisiatif tidak menjual rokok kepada peniaga di sini, semalam.

Premis kerajaan adalah kawasan larangan merokok seperti yang sudah diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

Di bawah peraturan ini, Kompleks E di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah antara tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 (PPKHT 2004).

Pada majlis itu, seramai enam peniaga di dalam Kompleks E di sini menerima sijil penghargaan kerana menghentikan penjualan rokok secara sukarela.

Dr Subramaniam berkata, beliau berharap akan ada banyak lagi peniaga terutama di semua kompleks kerajaan di Putrajaya mengikuti jejak langkah berkenaan.

Pada majlis sama, Dr Subramaniam berkata, KKM sentiasa bersedia dalam usaha memantau perkembangan jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), antaranya melakukan saringan di semua pintu masuk di negara ini.

Menurutnya, KKM mengadakan kerjasama rapat dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) khususnya untuk memberikan taklimat, menjalankan pemeriksaan kesihatan dan pemantauan suntikan vaksin untuk jemaah haji.

Katanya, pasukan perubatan KKM turut dihantar ke Tanah Suci sepanjang tempoh menunaikan haji bagi menjaga keperluan perubatan jemaah.

“Pada 8 Jun lalu, sesi taklimat MERS sudah diadakan kepada anggota LTH dan Pasukan Rombongan Perubatan Haji.

“Taklimat berkaitan MERS juga diberikan kepada bakal jemaah haji semasa Kursus Perdana Haji di setiap negeri yang akan diadakan bermula 31 Julai hingga 17 Ogos nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai denggi, beliau berkata, tahun ini berlaku perubahan ‘serotype’ virus pada April lalu iaitu DEN 1 kepada DEN 2.

“Bagaimanapun hanya dalam sebulan ‘serotype’ itu berubah semula kepada DEN 1 dan kita jangka kes naik dalam empat hingga enam bulan,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2015 @ 9:21am
d